Seorang teman lama sependayungan menjengok aku di blog ini. Seperti mana yang lain-lain, badi rowing ini susah sekali ditanggalkan dari kotak ingatan. Keriangan dan kenangan lalu mengusik jiwa. Gee, Eisya, Suraya, Anne Elisha adalah krew bot Woman Quadruple Scull (W4X) ketika penglibatan kami kali pertama di Pattaya, Thailand. Macam mana pula 5 orang boleh naik bot quadruple untuk 4 orang pendayung scull sahaja? Oh.. ada kisah disebaliknya.
Pendayung asal sebenarnya adalah Aku, Gee, Sue dan Eisya. 2 minggu sebelum ke Pattaya kami bergelumang dengan buku bagi menghadapi ujian sebelum peperiksaan akhir. Jurusan Kejuruteraan Mekanikal benar-benar mencabar keupayaan aku ditambah pula masa-masa aku banyak diperuntukkan untuk rowing. Malam kejadian aku tidak tidur disebabkan mengulangkaji pelajaran untuk ujian. Selepas ujian berakhir pagi itu, kira-kira jam 11:00 pagi, aku bergegas menelefon Eisya. Kedengaran suara Eisya agak lemah menjawab panggilan telefon. Pantas sahaja aku bertanya “Eisya… mahu berlatih petang ini?” Dengan pantas juga Eisya menjawab “Baiklah. Pukul berapa kau mahu menjemput aku?”
“Dalam masa setengah jam, aku jemput engkau. Kita naik motorsikal aku. Jangan lupa bawa helmet!” Aku berpesan
Keterujaan mewakili negara meluap-luap. Aku tahu Eisya juga sibuk dengan ujian walaupun kami berlainan jurusan. Tetapi demi negara kami sanggup berbuat apa sahaja.
Setibanya aku di bawah perkarangan flat yang disewa Eisya, aku lihat Eisya sudah menanti dengan beg sandang dibelakang. Aku lihat dalam senyum, matanya nampak merah. “Engkau dah tidur? Pagi tadi ada ujiankah?” Aku bertanya. “Hmm.. malam tadi tidur 2 jam. Ujian pagi tadi. Aku baru pulang dan sempat tidur selama sejam. Kemudian aku mendapat panggilan dari engkau terus aku bersiap.” Eisya menjawab.
“Patutlah mata merah. Aku pun belum tidur. Masalahnya, pertandingan kita lagi 2 minggu. Aku risau kita tidak cukup latihan pula” Aku membalas.
Eisya terus membonceng di belakang dan memakai topi keledar. “Sudah. Mari kita bergerak. Sudah tengahari ni. Cuaca panas pula. Nanti lambat.” Katanya.
Aku memecut motorsikal Yamaha 110cc JCP491 keluar dari kawasan Setiawangsa menuju ke Taman Permata,Melawati dan menggunakan lebuhraya. Eisya memegang kejap badanku dari belakang. Kami menuju ke Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor.
Setelah 20 minit perjalanan melepasi susur keluar ke Universiti Islam Antarabangsa, aku mula mengecilkan mata sambil benak aku berfikir. “Aduh! Mengantuk pula.” Aku berkata dalam hati. Aku cuba menggeleng-gelengkan kepala dengan kuat untuk melawan mengantuk. Tumpuanku ke atas jalan raya sambil cuba mempertahankan pegangan motorsikalku. Namun aku lebih menumpukan pandangan pada benteng bsei di tepi lebuhraya. Aku mula risau dan mula berkata-kata dalam hati. “Alamak! Aku sudah mula mengantuk. Nanti ada yang melanggarbenteng besi ini nanti.”
Aku sangkakan aku masih sedar dan waras berfikir. Belum sempat aku berfikir lanjut, “DUM!” aku sudah melanggar benteng besi di tepi lebuhraya. Aku terkejut dan cepat-cepat mengawal stereng motorsikal. Nasib baik kami tidak jatuh. Cepat-cepat aku memberhentikan motor. Bila aku toleh ke belakang untuk bertanyakan keadaan Eisya, Esiya sudah meraung sambil memegang pergelangan tangan. Jari manisnya sudah bengkok dan membiru bersama cincin emasnya.
Aku panik namun cuba menyembunyikan perasaan. “Sabar Eisya! Kita cari klinik. Aku hantar kau ke klinik” Rupa-rupanya aku terlelap beberapa saat dan melanggar benteng besi. Pemegang dan bahagian sisi motorsikal aku terhakis getahnya dan bengkok. Aku rasa Eisya juga tertidur di belakang dan ketika perlanggaran berlaku tangannya terhayun dan menghentam benteng besi yang sama.
Ketika di klinik, Eisya tidak berhenti-henti menangis. Aku yang ketakutan berlagak tenang dan cuba meredakan perasaanya ketika diperiksa oleh doctor. Dalam kesakitan, sempat pula Eisya berkata “Mus, aku tidak dapat pergi ke Pattaya!” sambil teresak-esak.
Aduh! Bagai mahu tercabut aku mendengar kata-kata itu keluar dari mulutnya. Dalam hati aku menjerit “Salah aku, Eisya!”
Eisya tidak berhenti-henti menangis kesakitan sedang doctor pula bagai tidak mengetahui apa yang harus dilakukan. Cincin Eisya sudah melekat dengan jarinya yang terkulai.
Aku keluar dari bilik doctor dan menoleh ke kiri dan ke kanan sambil berfikir apa yang harus aku buat. “Aku mesti beritahu En. Malek!” Aku berkata dalam hati. Aku terpandang telefon di atas kaunter klinik. Lantas aku segera mendail nombor telefon bimbit En Malek.
Dada aku berdebar-debar ketika menunggu panggilan diangkat. Apabila aku mendengar suara di hujung telefon, aku kehilangan suara dan terus menangis tersedu-sedu. Aduh!! Aku panic dan tidak dapat bercakap. Aku terus menangis dan menangis tanpa dapat dikawal lagi. Setelah beberapa minit aku masih tidak dapat bercakap, aku meletakkan telefon dan membuat keputusan ke Empangan Batu untuk bertemu En. Malek di sana.
Motorsikal aku meskipun bengkok pemegangnya masih boleh bergerak. Lalu aku memecut lagi ke boathouse untuk melaporkan kejadian malang ini kepada En. Malek.
Setibanya di sana aku segera mendapatkan Encik Malek yang sedang berbincang sesuatu bersama Abang Ujang dan Abang Bonjot. Terketar-ketar aku menceritakan perkara yang berlaku. Tidak lupa juga aku menyampaikan kebimbangan Eisya tidak dapat menyertai pertandingan di Pattaya, Thailand. Tenang sahaja Encik Malek memberitahu aku, tempatnya tidak akan diberikan kepada orang lain.Eisya tetap pergi namun sebagai pembantu kepada pengurus pasukan iaitu Abang Bonjot.
Setelah puas dengan penjelasan aku, Encik Malek bersama Abang Ujang ke klinik tersebut. Sebagai tindakan susulan, Eisya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan dirawat di sana. Nasib baik kecederaannya tidak serius, 2 jari tangannya patah dan disimen. Puas aku menjawab dan memohon maaf kepada kedua-dua ibubapa Eisya atas kelalaian aku.
Dan kerana insiden ini juga, Anne dipanggil masuk ke dalam pasukan menggantikan Eisya. Hasilnya, aku, Gee, Sue dan Anne berhasil mendapat pingat gangsa di Pattaya, Thailand bersama Eisya sebagai penyokong kuat kami.
Moral of the story, jangan berlagak kuat dan terlebih rajin. Pastikan badan cukup rehat dan bersedia sebelum memulakan perjalanan atau latihan. Sesal kemudian tiada berguna.
p/s: sebenarnya, bukan itu sahaja insiden yg berlaku. Aku pernah jatuh motor bersama Suraya juga. Nasib baik tak kena saman dengan COACH Halim. Tp tak luak pun. Lutut jer luka gara-gara lap di selekoh dengan tayar motorsikal pancit di depan. Apalagi, bedebuk tergolek.
1 kali hua.. 2 kali hua.. 3 kali hua.. HUAHUAHUA………
2 p/s: aku akan post gambar di Pattaya tahun 1998 kemudian hari. Tak sempat nak scan.
ooo. baru saya tau kenapa en malik tak suka kitaorang bawak motor atau kenderaan sendiri ke dam.
rupenye rowers lama dia banyak wat hal.
ish2..
ehem….kak mus banyak rekod kot..motor abg adi..??hehehehehe
oii zole.. ko jgn pecah tembelang daaa…. tuh tak sengaja tuuu…