Menanam keyakinan itu bukan mudah. Tetapi percayalah adik-adik. Jelas terpampang potensi di wajah-wajah kamu semua. Betul kamu belajar. Mana mahu dikejar tugasannya. Ujian dan peperiksaan. Pembentangan projek akhir. Mana pula mahu berlatih setiap petang atau pagi. Memenuhi program yang telah diberi.
Kamu adalah pelajar! Kamu juga adalah atlet. Pelajaran kamu seiring dengan prestasi yang harus dikekalkan. Dari minit kamu bergelar atlet universiti (atau pendayung universiti), sebelah kaki kamu sudah menjejak peluang sebagai atlet kebangsaan. Sukan SEA 2011 makin hampir. Tiada yang mustahil. Siapa jua layak asal usahanya setimpal dengan hasil.
Gaya hidup kamu akan berubah mulai saat ini. Kamu bukan hanya belajar kemudian berlibur di waktu-waktu senggang. Waktu-waktu senggang kamu diubah menjadi waktu latihan. Latihan yang berat, penat dan benar-benar menuntut kesabaran. Selalu aku terserempak dengan atlet yang menyumpah-nyumpah kepenatan setelah usai melunaskan program di atas mesin ergometer. Namun, tersenyum lebar bilamana ujian 2000m menunjukkan peningkatan. Betul! Usaha pasti membuahkan hasil.
Menerima berita keputusan SPM, lebih banyak kegembiraan dari kedukaan yang saya terima. Anak-anak di Alam Shah ramai yang mencatat keputusan cemerlang. Di universiti mana agaknya kamu ditempatkan nanti. Tempatan atau luar negara?
Saya kenal seorang dua yang hatinya waja. Moga-moga saja jiwanya terus cekal dan meneruskan perjuangannya dalam sukan mendayung di peringkat universiti nanti. Lebih bebas pergerakannya dan lebih banyak peluang. Kami menanti-nanti kemunculan kamu, adik-adik. Buat cabaran baru pada abang-abang kamu di sini.
p/s: dan tiba-tiba ingatan kepada Wan Setiawan muncul kembali. Pelajar cina di sebuah sekolah menengah di Perak. Anak didik cikgu Saleh. Sanggup bekerja mencari duit tambang ke Empangan Batu, demi mengejar cita-cita sebagai pendayung kebangsaan. Coach Hadi yang seperti selalu sarat kebaikan dalam dirinya, menjemputnya di Puduraya dan melatih beliau bersama-sama Acap, Zul, Yus dan Amir.
Be First to Comment