Alhamdulillah…. usai membaca Macedonia ~ Alexander Agung : Hijab Raja Zulqarnain! Benar-benar bermanfaat dan menarik perhatian. Saya tidak sabar untuk menghabiskan pembacaan sehinggakan lunyai buku ini saya kelek ke hulu ke hilir. Kemuncaknya, saya habiskan bacaan ketika mertua sibuk mengemas setelah selesai majlis pertunangan adik ipar. Menantu contoh sungguh… opss! Baik punya cover. Sambil tidurkan anak perempuan saya yang baru berumur setahun, saya belek helaian demi helaian terakhir.
Fuhhhh.. memang pengembaraan minda ke dimensi yang lain. Takjub dengan pembawaan Tuan Web Sutera. Karya pembuka mata dan jiwa. Siapa sangka karakter Alexander yang dipaparkan di layar perak itu bertentangan sekali dengan yang diceritakan dalam kitab Al-Quran. Hujah-hujah yang dibentangkan secara naratif mampu membuat menguatkan keinginan seseorang untuk mencari kebenaran. Padanlah ada yang benar-benar terkesan dan menerima hidayah.
Tidak dapat disangkal, ianya adalah sebuah novel di mana ada adaptasi dan tokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita. Tetapi saya suka ambil isinya. Isinya tetap berlandaskan kebenaran. Pengaruh novel sejarah seperti ini pernah menyebabkan mahasiswa menggunakannya sebagai bahan rujukan (cerita benar ini! karya Dr. FT). Sudahnya, zasss… kena pancung dek pensyarah. Samada boleh atau tidak dijadikan rujukan, itu perdebatan di lain waktu.
Bab kegemaran saya adalah berkenaan Yakjuj dan Makjuj kerana saya tidak banyak ketemu bahan ini. Sungguh! Sungguh takjub. saya bersetuju dengan hujah Alexander Agung itulah Raja Zulqarnain.
Tahniah, Tuan Web Sutera. Tahniah kerana berjaya membongkar hijab ini. Saya teruja untuk memburu bahan bacaan dari penulis lain berkenaan skop yang sama.