Bagi mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan peningkatan wabak influenza H1N1 di Singapura, kami kembali ke Malaysia dengan topeng penafasan. Guru-guru pengiring (Cikgu Roslia & Cikgu Anuar) telah menerima arahan (Self-Quarantine) supaya pelajar-pelajar Sekolah Sultan Alam Shah yang terlibat dikuarantin di bilik berasingan. Guru-guru pengiring diberi cuti seminggu dan dikehendaki duduk di rumah tanpa melibatkan diri dengan aktiviti luar.
Saya sendiri mengalami selsema dan batuk sejak dua hari lepas namun semakin pulih. Ketika suami menjemput di KL Sentral bersama Adam dan nendanya, saya tidak berani bersalam, memeluk dan mencium mereka sungguhpun kerinduan begitu menebal di hati. Adam pun seperti mengerti dan tidak menangis. Hanya tersenyum simpul memandang ibunya yang memakai topeng penafasan. Suami menyarankan saya pergi ke klinik panel sebelum pulang ke rumah bagi mendapatkan pemeriksaan. Namun begitu, klinik panel meminta kami terus merujuk kepada Klinik Kesihatan Kapar. Ketika sampai di klinik, saya lihat begitu ramai yang datang mendapatkan rawatan. Hanya saya seorang yang menggunakan topeng penafasan. Di kaunter pendaftaran dengan nada perlahan, saya memberitahu pembantu perubatan bahawa saya baru pulang dari Singapura dan mendapat selsema. Mata mereka membulat dan begitu juga pesakit-pesakit lain yang berada berhampiran dengan saya. Pada mulanya, pembantu perubatan tidak pasti apa yang patut dilakukan namun seseorang mengarahkan saya masuk ke bilik pengasingan.
Dalam 10 minit menunggu, pembantu perubatan yang bertugas masuk dengan kelengkapan PE kelihatan seperti angkasawan kecuali tanpa helmet. Dengan termometer berbalut plastik, pembantu perubatan mengarahkan saya memasukkan termometer tersebut ke bawah lidah untuk dikemam. Selang 3 minit, saya diminta memulangkan termometer tersebut dengan memegang hujung plastik dan membuang plastik tersebut ke dalam tong sampah kuning. Setelah dikenal pasti saya tidak demam, barulah mereka kelihatan lega dan suasana kelihatan tenang semula. Doktor masuk dengan kelengkapan yang sama dengan tambahan penapis plastik melindungi mata & muka.
Dengan borang checklist di tangan, saya ditanya ke mana saya pergi, apa aktiviti yang dilakukan, dengan siapa saya bersentuhan. Ada 5 simptom yang ditanyakan iaitu batuk, selsema, demam, sakit tekak & pening kepala. Simptom yang saya alami hanyalah batuk dan selsema.
Berdasarkan hanya kepada info tersebut, doktor membuat kesimpulan bahawa saya hanyalah menghadapi selsema biasa dan memberikan ubat. Tiada nasihat atau surat untuk tindakan kuarantin di rumah. Oleh kerana itu, saya kembali ke pejabat selepas makan tengah hari.
Setidak-tidaknya, hati lega setelah mendapat penjelasan dan diperiksa oleh doktor. Walaupun ada kes yang terjadi selepas 3 hari hingga seminggu. Lantas saya menelefon yang lain-lain memaklumkan perkembangan ini sambil memberi ingatan supaya segera ke hospital jika demam dalam masa seminggu ini. Jika ingin ke hospital, elakkan dari menggunakan kenderaan awam bagi mengelakkan jangkitan menular.
Semoga semua orang mendapat perlindungan dari Allah. Amin…
hope you get well soon kak mus!