Skip to content

Category: Jom Menulis

Proses Kreatif sebuah Novel Juvana

“Kisah remaja yang terperangkap dalam jenayah”

Awal bulan September, sebuah rangka novel juvana diberikan untuk semakan. Kata penerbit, jika setuju boleh terus tulis dan hantar dalam masa sebulan.

Bulan September bulan yang penuh dengan kesibukan. Bulan Ogos yang lalu baru sahaja GO-LIVE sistem. Fasa kedua projek pula berganti, dijadualkan GO-LIVE 1 Oktober pula. Dalam masa yang sama kuliah semeter akhir sudah bermula.

Jadi proses kreatif novel ini berselang seli dengan pergelutan kerja dan tugasan kuliah. Belum serik nampaknya, saya curi-curi membaca proposal menulis skrip. (sudah mula draf sebenarnya… 🤭) Kalau saya ada kembar, pasti sudah kena tampar dan diazankan di telinga. Saya tak tahu kenapa saya nak buat semua serentak. Hahaha…

Setiap penulis mempunyai simptom yang hampir sama. Saya sendiri mengalami writers block, kemalasan, tangguh-tangguh kerja. Paling parah dan mengganggu timeline adalah drama bersiri di netflix. Sindrom alang-alang menyeluk pekasam membuatkan saya pantang bermula tonton drama bersiri. Pasti akan saya tonton sampai selesai.

Ketika ini saya lunaskan tontonan drama Historical K-pop iaitu ‘tree with deep root’. Mujurlah tak banyak. Hanya 1 musim dengan 24 episod. Alasan saya, kajian bagi mendapatkan idea plot untuk karya sejarah fiksyen akan datang. Hehehe…

Kembali pada kisah juvana ini, penulisan kaedah KJ method membantu saya kekal di landasan. Idea dan latar sudah disediakan, tinggal tulis sahaja. Sorot pandang dan plot perlukan garapan yang segar. Selalunya tidak berjaya pada perenggan pertama setiap bab. Saya akan bereksperimen beberapa kali tetapi takkan berhenti.

Saya pegang kuat petua yang dikongsikan oleh watak Sean Connery dalam filem Finding Foresster (2000),

“You must write your first draft with your heart. Rewrite with your head.”

Jadi tanpa gagal saya mesti menulis setiap hari walaupun satu ayat.

Deadline saya esok, jadi saya kena berhenti di sini dan sambung menulis. Ada 2 bab lagi mahu dilunaskan sebelum disemak semula sehingga puas.

Ya Allah Ya Musawwir.. berikan aku Ilham yang hebat, yang memberi manfaat. Mudah-mudahan asbab tulisanku berjaya mencambahkan natijah yang lebih baik.

Leave a Comment

Kisah “Puaka” bakal diadaptasikan sebagai Komik

Sang editor menerjah peti mesej dengan pesanan bertalu-talu. Ada berita baik gayanya. Sebaik peti mesej dibuka…..

“Sudah jumpa!”

Itu ayat pertama beliau, kemudian beberapa contoh lakaran watak utama dikongsikan. Wahhhh… hati saya sudah terkinja-kinja melompat dan menari keterujaan! Selanjutnya, sang editor yang berdedikasi terus bertanyakan pendapat saya sebagai penulis cerita. Sekaligus mendapatkan persetujuan untuk projek kolaborasi. Ini kali pertama saya ditawarkan dengan kerjasama dengan pelukis komik bagi projek adaptasi. Bagai mimpi jadi nyata!

Watak Zaaban

Lakaran watak Zaaban iras seorang pelakon drama. Tapi saya tak ingat namanya. Sesuai dengan umurnya pertengahan 20-an dan seorang guru agama yang baru sahaja mempelajari ilmu rawatan islam. Pengalaman baru setahun jagung, sangkanya hanya mahu mengimbas dan menghalau gangguan ringan di rumah ibunya. Siapa sangka… jeng jeng jeng.. mana boleh cerita. Spoil lah nanti. Hahahah…

Watak Jais

Lakaran watak Jais pula adalah seorang lelaki kurang siuman yang berumur lewat 30-an. Kusut masai, gigi kuning berkarat dan berbaju lusuh dengan kulit berkerak daki tebal. Ditambah pula dengan bau hapak, entah bila kali terakhir beliau mandi. Sungguhpun Jais gila, tetapi apabila dia merampas mikrofon dari bilal dan melaungkan azan… aduhai! Mendayu-dayu dan menyentap sanubari paling dalam. Tetapi bila dia sambung dengan lagu “Gelisah” dendangan Ahmad Jais, habis satu kampung gempar!

Salah satu babak cemas dalam novel

Kolaborasi ini takkan jadi realiti tanpa kesungguhan dari pelukis. Berbunga-bunga rasa hati apabila si Pelukis Komik yang budiman ini menghadiahkan saya komen yang mengujakan. Siapa sangka ada orang yang sedar tentang nilai di sebalik kisah seram + komedi yang saya garap dalam novel ini. Kata beliau,

“Feel seram tapi bermakna, misteri tapi berpijak pada dunia nyata. Cerita yang baik adalah cerita yang tak disangka endingnya.

Rupa-rupanya dia telah berulang kali membaca novel ini dalam usaha mendapatkan rasa dan perisa bagi mencambahkan idea. Syukur… saat paling bermakna bagi seorang penulis adalah apabila ada pembaca yang mahu berkongsi imaginasi dan pemahaman dari novel yang dibaca. Phewwww… tak terkata.

Kalian yang belum memiliki naskah ini, boleh sahaja dapatkan di toko-toko buku berhampiran. Dalam carta toko buku, POPULAR.. novel ini berada di tangga 16. Boleh juga berurusan terus dengan wakil kami. Klik sini: http://www.wasap.my/601132933644/PulangkanKembarPuaka

 

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 2

“Apa cerita anak dara Datin Zam, mertua kau yang lari ikut lelaki korea tu?”

Niya menoleh ke arah mak sekilas sebelum kembali menumpukan pandangan pada beras yang diisi di dalam kelongsong daun kelapa.

“Belum balik lagi.”

“Dia kan banyak duit. Kenapa tak ke Korea dan cari anaknya, dibawa balik?”

“Sudah, mak. Mama upah orang ke sana untuk cari Mimi tu. Tapi anaknya yang tak mahu balik.”

“Ya Allah.”

“Itulah, kecoh bila mama pengsan dengar berita tu. Mimi tu anak dara kesayangan dia, mak.”

Niya teringat ketika ibu mertuanya pernah menjerit pada Mimi apabila menerima bil kad kredit yang melambung tinggi. Entah bila dia curi kad itu dari dompet ibunya.

Gadis berusia 19 tahun itu hanya tahu bersuka ria bersama teman-teman sebaya. Setiap malam keluar dan pulang awal pagi. Dihantar belajar ke kolej swasta, namun tak pernah berminat untuk hadir kuliah langsung.

“Apa lagi ikhtiar mertua kau?” Mak bertanya lagi pada Niya sambil mencampakkan kelongsong daun kelapa yang telah siap dianyam menjadi ketupat ke dalam besen.

“Entahlah mak. Terdengar hari tu mama ada sebut-sebut PUTAR GILING.”

“PUTAR GILING? Apa bendanya tu?”

“Niya pun baru tahu bila tanya abang Zain. Dia kata memang maknya selalu jumpa dukun Rosli minta bantuan. Dukun ni pakar cari barang hilang.”

“Manusia pun boleh ke?”

“Boleh katanya. Dia seru suruh balik. Tapi abang Zain cakap, ilmu ni ada keburukannya.”

“Apa dia?”

“Orang yang diseru, kalau tak dapat balik akan gila.”

“Masya’ Allah!”

Mak geleng-geleng kepala.

“Eh, Niya! Entah-entah, si Fawwaz tu pun kena PUTAR GILING dengan mertua kau!”

“Ish! Apalah mak ni? Takkan seorang nenek sanggup nak sihirkan cucu sendiri?”

“Habis tu, kenapa anak kau macam tak kenal ibu kandung? Menangis berteriak sepanjang malam sampai kau terpaksa pulangkan dia balik malam tu juga ke rumah Datin Zam tu?”

Niya pegun. Matanya merenung beras yang memutih di dalam besen. Semakin lama semakin dalam. Hatinya membara. Darahnya mula menggelegak. Tak semena-mena air mata menitis laju membuatkan dadanya sesak.

#dilemmawanita
#spoiler
#novelmistikakandatang
#skripdrama
#putargiling

Leave a Comment

Putar Giling Bahagian 1

“Yeay.. Yeayy.. Kak Niya datang! Yeay.. Yeayyy!”

Bersorak riang kanak-kanak berumur lima, tujuh dan lapan tahun meluru keluar di halaman rumah berkaki ayam apabila menyedari kemunculan kereta Honda Civic yang dipandu oleh suami Niya, Zain.

Niya memaksa senyum sambil mengerling ke arah suaminya yang mendengus. Adik-adiknya menerpa ke arah cermin kereta. Tangan mereka yang berminyak melekap sambil melambai-lambai, meninggalkan kesan di cermin kereta yang baru dicuci itu.

“Adik-adik awak ni memang selekeh sepanjang masa agaknya. Ishhh…. Saya baru cuci kereta tahu tak?”

Niya buat-buat pekak hanya membalas lambaian dan membuka pintu kereta. Ketiga-tiga adiknya dipeluk rapat ke tubuh sambil dicium tanpa rasa jijik. Satu persatu pipi mereka dipegang sambil tangannya mengelap cairan hidung yang meleleh jatuh. Yang tinggal hanya kerak hingus.

“Kak Niya beraya di sini ya?”

“Mana Fawwaz, kak?”

“Anim nak main dengan Fawwaz lah kak. Anim rindu.”

“Ajul pun rindu, kak. Mana Fawwaz?”

Bertalu-talu soalan dari mulut adik-adiknya yang masih kecil itu membuatkan hatinya dipanah rasa pedih. Bagai ditikam bertalu-talu. ‘Anim dan Ajul rindu? Kakak dah mati menanggung sendu.’ Niya menangis di dalam hati.

“Fawwaz tak ikut balik. Fawwaz duduk dengan nenek dia di KL.”

Adik-adiknya melepaskan pelukan dan berjalan longlai kembali ke dalam rumah. Niya hanya mengekori langkah mereka. Di pintu masuk, adik perempuannya, Linda yang sudah meningkat remaja menegur.

“Hmm.. Memang tak ada harapan langsung nak beraya dengan Fawwaz kan? Nak jumpa susah. Langsung tak pernah tidur sini.” keluh Linda sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Linda, sudahlah. Kau tahu apa? Kau rindu anak sedara. Kak Niya rindu anak sendiri. Mana lagi berat? Jangan sapu garam di luka, boleh?” tiba-tiba Mak muncul menyambut Niya di muka pintu.

Niya menghulurkan salam. Mencium tangan ibunya yang sudah mula berkedut. Air matanya menitis tak tertahankan.

“Sudah. Sudah. Masuk. Kejap lagi nak berbuka. Tidur sini kan malam ni? Mana Zain?”

Mak menepuk bahu Niya mendorongnya masuk ke rumah lalu keluar menyambut menantu sulungnya itu.

Niya hanya tunduk dan berjalan ke dapur. Linda berjalan beriringan dengan kakaknya.

“Bestnya kakak beraya di sini. Malam ni kita buat biskut ya kak?”

Niya tidak menjawab dan terus membuka tudung periuk melihat isinya. Ada sup ayam kampung sedang mereneh.

“Hmm… Kalau dah monyok macam tu memang tak ada harapanlah jawabnya. Macam tahun-tahun sudah. Lepas buka akak balik KL kan?”

Niya mencapai pisau di atas meja dapur lalu menghabiskan kerja mak menghiris bawang di atas papan pemotong.

“Kesian, mak dan abah. Tak dapat beraya dengan cucu lelaki yang seorang tu. Nak beraya dengan anak perempuan pun susah.” Linda belum mahu berhenti mengomel sambil tangannya mencapai kentang dan besen kecil di kabinet dapur.

Perlahan-lahan kentang itu dikupas.

“Sudah 4 tahun akak tak beraya dengan kami. Nampak gaya memang tak ada harapan lah tahun-tahun hadapan pun. Abang Zain ni kejamlah!”

Mak muncul di muka pintu dapur. Berdehem. Mata mak berkaca-kaca.

“Jaga mulut tu Linda.”

Mak mendekati Niya. Pisau di tangan Niya diambil.

“Sudahlah. Pergi berehat. Jalan jauh kan? Nak balik pula lepas buka nanti, mesti penat. Pergi depan duduk dengan Abah, tolong anyam ketupat.”

Niya menurut. Kepalanya terasa berat dengan pelbagai isu. Wajah Fawwaz bermain-main di fikiran. Langkah kakinya terus dipaksa ke depan.

Abah sedang duduk di beranda ditemani Zain ketika Niya menjenguk. Tangan abah pantas menganyam pucuk daun kelapa.

“Malam ni abah masak ketupat ni, ya. Boleh bawa balik KL. Zain kata dia nak tunggu ketupat abah. Mari sini tolong anyam.”

Abah tersenyum ria.

Niya memandang Zain yang memusingkan bebola mata dengan rasa kurang senang. Tangannya disilangkan ke dada lalu menggelongsorkan tubuhnya di kerusi sofa itu. Terus memejamkan mata.

Niya duduk di lantai, bersentuhan kaki dengan lelaki yang dipanggil abah itu. Tangan abah dikaut dan dicium lama.

Abah hanya tersenyum. Menyembunyikan perasaan.

#dilemmawanita
#fawwaz
#nextdrama #nextpuaka
#putargiling

Leave a Comment

“… KISAH BUDAK ASRAMA: BAHANA MULUT TAK ADA INSURAN…”

Dua tahun duduk di asrama sekolah teknik, macam-macam cerita menarik timbul. Yang lucu, yang seram, yang pedih semua ada. Salah satu ceritanya adalah macam cerita di bawah ni.
Antara perkara yang menjadi kelaziman bagi penghuni asrama puteri ialah kami akan beramai-ramai membaca yassin sebelum tidur. Berkumpul di tengah-tengah dorm dengan diapit katil berkembar di kiri dan kanan, kami duduk dalam satu bulatan. Usai membaca, kesempatan itu diambil untuk kami bersembang sebelum warden bertugas melakukan rondaan dan melibas rotan di pintu kamar memaksa kami masuk tidur.
 
Namun ada peristiwa di satu malam di mana langit ketika itu gelap tanpa cahaya bulan. Lampu-lampu dorm sudah dimatikan, yang tinggal hanya lampu di kaki ima. Kami masih berlonggok sambil bersembang tentang kes pelajar ponteng yang dirotan di perhimpunan pagi tadi.
 
Mula-mula masih kedengaran derap tapak kaki dan suara pelajar yang berbual-bual pulang dari bilik mandi. Kebetulan pula kamar kami paling hujung dan bersebelahan tandas. Lama kelamaan suasana menjadi senyap sunyi di luar. Warden juga malam itu tidak meronda seperti biasa menyebabkan kami tidak menyedari waktu sudah semakin lewat.
 
Sedang rancak berborak, perbualan kami terhenti apabila terdengar ayam berkokok kat luar dorm. Bagai malaikat lalu, suasana berubah menjadi sunyi.
 
Hati aku rasa tak sedap. Degup jantung mulai kencang membuatkan aku mula merangkak menaiki katil.
 
Tetapi memang malam itu malam cari nahas. Ada pula yang bersuara memecah kesunyian.
 
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.”
“Ayam berkokok tanda hari mau siang.” kata Ema sambil ketawa.
 
Aku menepuk dahi.
 
“Shhhh..” Mona menjegilkan bebola mata ke arah Ema sambil menekap jari telunjuk ke bibirnya.
 
“Eh.. apa suhhh.. suhhh. Kan orang tua kata ayam berkokok malam-malam tanda turun rahmat.” Ema melawan.
 
“…Mulut Mak Limah betul kau ni. Malam-malam macam ni jangan tegur benda-benda pelik, boleh?” Si Mona tak habis membalas.
 
“Eh… Betullah. Pakcik aku cakap. Kalau dia bohong, maknanya aku bohonglah.”
 
“Shhh… diamlah!”
 
Bahagian selepas itulah yang paling haru-biru.
 
Ayam yang berkokok di luar asrama itu tiba-tiba berkokok lagi.
 
Mula-mula sayup saja kedengaran bunyinya. Selepas tu makin lama semakin kuat dan semakin dekat. Bersahut-sahut.
 
Aku dengan budak-budak dorm dah berpandangan sesama sendiri. Ada pula yang tarik lengan aku sambil memeluk erat. Ada yang sudah melutut mengigit semua jari sambil mata meliar tengok atas bawah depan belakang.
 
Ayam itu masih berkokok lagi.
 
Mujurlah Kak Nana, seorang kakak paling senior dengan tudung paling labuh terus mengetuai bacaan ayat kursi. Yang lain-lain tunggang langgang mengikut baca dengan mata meliar ke sana ke mari. Ada yang sudah menggigil sehingga berlaga gigi.
 
Bunyi ayam berkokok itu semakin lama semakin kuat tanpa tanda mahu berhenti. Kokokan itu semakin jelas sehingga betul-betul di depan pintu kamar kami.
 
Aku dah melopong menunggu masa pintu itu terbuka, membayangkan rupa bentuk mahkluk berjambul atas kepala yang akan muncul depan kami. Adakah kami akan dipatuk atau disergah, semua kemungkinan terbayang di mata aku.
 
Namun sebaik sahaja kakak Nana menghabiskan bacaan barisan ayat kursi yang terakhir, kokok ayam itu terus lenyap. Senyap.
 
Sunyi.
 
Sepi.
 
Seorang pun tidak berani membuka mulut. Seorang demi seorang bubar dan merangkak naik ke katil, cepat-cepat tarik selimut dan cuba tidur. Siapalah sangka ayam berkokok pun boleh bikin seram!
 
Aku? Sudah berselubung di dlam selimut. Phewwww… sempat pula aku menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mulut siapalah tadi yang lancang sangat tadi. Aku pula yang merana tak boleh lelap. Tak sabar tunggu azan subuh nak berkumandang.
 
Yang pasti, aku berdoa keras di dalam hati. Tidurlah terus, jangan terjaga sampai pagi. Tak mahu berulang kisah misteri itu lagi. Ada pulak setan yang mencangkung di tengah-tengah dorm sambil menyanyi.
 
“Satu dua tiga leburrrr, semua lena tidur berdengkur,
Terbang tinggi burung tekukurrrr,
yang dah bangun tu tak payah nak pura-pura tidur”
 
Makkkkkkk!!!!!!!!
 
#seramistik #puakaasrama
Leave a Comment