Sayang sedeli permata buana
Pasirnya putih laut membiru
Terkenang hati ditinggal di sana
Budi Tuan buat kami terharu
Kalau ada sumur dalam airnya
Kepingin sungguh berendam kaki
Kalau ada umur dan jodohnya
Kepingin sungguh bertemu lagi
~MN, 16 Mar 2019, Klang
Bila menulis artikel berkisar topik laut, saya selongkar galeri di dalam telefon bimbit. Teringat kenangan menjelajah pantai timur di selatan semenanjung. Aduhai, ruginya… hanya beberapa keping gambar di tepi pantai, itupun tak bersungguh. Kebiruan laut di pantai sebelah timur ini memang tidak pernah mengecewakan dengan pasir di pantai yang memutih. Kalau tidak kerana Program Jelajah Sekolah bersama Blink Books, saya takkan sampai menjejak kaki ke sini.
Berharap sangat dapat kembali.
Istimewa anak-anak di Tanjung Sedeli ini, saya berusaha meyakinkan mereka bahawa membina impian itu percuma. Jujurnya, mereka tidak pernah terfikir untuk menulis impian menjadi sebuah matlamat.
“Sky is the limit”
Itu yang saya ulang-ulang sambil menyelitkan kisah-kisah inspirasi tentang kejayaan atlet Malaysia mahupun dunia. Seperti ombak di lautan, saya dendangkan kisah kegagalan demi kegagalan yang bertali arus mengasak sehingga rasa putus asa itu terbit. Tetapi, setiap individu ini berjaya meredah badai di lautan kehidupan. Saya tidak hanya menekankan kejayaan bahkan kegigihan atlet ini berdepan dengan cabaran walaupun tewas berkali-kali.
Kuasa imaginasi dan visualisasi seorang atlet mampu membawa jatidiri mereka ke puncak jaya.
“Impian yang tidak ditulis akan jadi angan-angan. Namun jika ditulis, impian itu akan bertukar menjadi MATLAMAT.”
Semasa program ini, pengerusi majlis guru besar Tuan Johari Md Saad bersusah payah mengaturkan agar 9 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah kurang murid menyertai bengkel ‘Modul Asas Juara’ ini. Sek. Kebangsaan Sempang, Sek Keb. Seri Perani, SK Telok Hutan Lesong dan SK Tenggaroh mempunyai jumlah murid sekitar 16 sehingga 80 orang sahaja. Namun mereka tidak ketinggalan untuk menyertai bengkel anjuran Blink Book.
Kesempatan yang diambil untuk guru-guru ini memberikan pendedahan kepada anak-anak luar bandar tentang kewujudan dunia luar selain yang didiami mereka. Sek Kebangsaan Seri Gembut menawarkan diri menjadi tuan rumah dan menyediakan ruang untuk 120 orang pelajar menyertai bengkel tersebut. SK Seri Setia Jaya, SK Sedeli Kecil, SK Sedeli Besar dan
SK Mawai menghantar semua pelajar tahun 6.
Bengkel ini diakhiri dengan harapan menggunung. Mudah-mudahan ilmu yang diberikan mendatangkan manfaat.
Leave a Comment