Skip to content

Category: Rowing Malaysia

FW: 5 RINGGIT RACE???

Hah! Coach Azlei sudah mencanangkan pada umum tentang race 5 ringgit. Tapi pada hari RABU??? biar benar??? Orang keje lah Coach!

 

Mesti mengujakan melihat bekas-bekas atlet kebangsaan mendayung setelah sekian lama.. guys!! Mampu ker? Gi minum anlene 4 minggu sblm game.. nanti ada yang tulang aptah riuk… ekekekeke…. (termasuk aku la tu)

 

Aku pun teringin nak main! Hahahaha.. single scull.. hmmm.. kena tgk sapa lawannya dulu.. ble makan tak? Double scull ngan sapa ek? Nak ajak afong, dia fit ooooo… karang kena marah dalam bot.

 

Utk rowers PKS (Pusat Kecemerlangan Sukan) yang gigih berlatih di bulan ramadhan ini di bawak sinar terik mentari…. bersabarlah.. usaha anda pasti mendapat ganjaran kemenangan.. insya’ allah.

 

UTM pun dah mula berlatih untuk VBR.. UiTM.. entahlah… macam2 isu…. Patah dah agaknya semangat lenny menunggu program yang aku tak boleh laksanakan kalau x der komitmen dari uitm…. Duhh!!! Hafiz baru telefon semalam mintak aku submit training plan hujung minggu sahaja… duhh lagi… pehal hujung minggu jerw.. mana kem latihan…? Macam2 sakit manusia nih.. payah…

 

UiTM rowers… bare with me, ok! Don’t go anywhere…

 

 


Note:
The information and attachments contained in this communication is intended solely for the use of the individual or entity to whom it is addressed. It may contain confidential or legally privileged information. If you are not the intended recipient you are hereby notified that any disclosure, copying, distribution or action taken in reliance on the contents of this information is strictly prohibited and may be unlawful. If you have received this communication in error, please notify us immediately by responding to this email and delete it from your system. DRB-HICOM neither warrants the integrity of the information transmitted nor accepts liability for the proper and complete transmission of this communication.

Leave a Comment

MASUM 2010 – KEMENANGAN BERMAKNA

Segala jerih perih terbayar. Setiap titik peluh dan darah yang tumpah ke bumi terbalas. Setahun penantian berakhir dengan memanjatkan doa penuh kesyukuran. Sememangnya benar-benar memberi makna.

Sungguhpun begitu, tidak bermakna laluan selepas ini semakin mudah. Bahkan lebih getir. Semangat yang meruntun jatuh berkeping-keping pasti akan bangkit semula sepertimana yang berlaku ke atas kami. Setelah sekian lama di pundak kejayaan, dijatuhkan dalam sekelip mata. Kekalahan menjadi pengajaran yang cukup berkesan tika itu. Sukarnya untuk kembali merampas apa yang terlepas dari tangan. Melihatkan fizikal lawan, siang-siang mental anak-anak sudah goyah.

Untung kami punya jurulatih yang tidak jemu-jemu mendokong. Coach Hadi begitu tekun memastikan anak-anak punya peluang, punya ruang. Sedikit demi sedikit tembok pertahanan dibina bagi mengatasi segala ketidakyakinan. Maklumlah, jurulatih separuh masa. Kami saling sandar-menyandar dan membantu setakat yang mampu. Untung anak-anak dayung ini memang sudah berdikari. Punya kapten dan presiden yang sentiasa berusaha memastikan program yang direncana dilaksanakan sebaik mungkin. Tidak lupa juga ibu-ibu kecil yang kuat berleter menguruskan teman-temannya.

Satu pengalaman baru setiap kali kejohanan seperti ini. Selalu ada kejutan. Saingan kini tidak hanya didominasi antara dua universiti sahaja iaitu UTM & UTHM. UIA sudah mula menunjukkan taring dengan menjulang emas bagi acara M4+. Srikandi UMS juga kian menyerlah walaupun jurulatihnya selalu khuatir akan emosi atlet wanitanya. UNITEN juga punya fizikal yang mantap. UDM juga menunjukkan potensi di awal pembabitan dengan segala peralatan baru.USM juga bikin goyang.

UiTM pula membariskan atlet yang punya stamina tinggi. Rata-rata atlet adalah anggota PALAPES. Saya menjangkakan mereka semua berupaya ke peringkat akhir. Namun hanya acara M4+ yang melepasi jangkaan. Ternyata, mereka belum cukup pengalaman dalam perlumbaan di samping kekurangan peralatan berbanding universiti lain. Masih menggunakan macon blade untuk berlumba.

Ada drama yang menarik ketika perlumbaan. Apabila M8+ UTM dan UTHM sah masuk ke kumpulan semi final yang bakal diisi oleh 2 lagi universiti. Universiti-universiti lain berusaha mengelak daripada bertembung dengan 2 ekor gergasi ini. Ketika perlawanan repearcharge, UM dan UNITEN mendayung bahu ke bahu enggan menamatkan perlumbaan di tempat pertama. Kerana kedudukan pertama repearchage akan bertemu UTM & UTHM sekaligus peluang nipis ke peringkat akhir. Kamu patut lihat gelagat mereka di finishing line. Sungguh melucukan.

Ada satu pasukan yang membuat diri saya sangat kagum. USIM. Universiti Sains Islam Malaysia. Pencapaian mereka sederhana. Jarang berjaya ke final. Namun mereka tidak pernah patah semangat mengambil bahagian. Saban tahun mereka hadir dan memberikan saingan. Sayang, mereka tidak punya jurulatih yang dapat membantu meningkatkan prestasi. Insya’ Allah, jika ada ruang dan waktu kami akan membantu pasukan ini. Selama universiti-universiti lain berlatih di empangan batu, tidak ada istilah kedekut ilmu. Atlet-atlet yang berpengalaman rajin memberikan tunjuk ajar dan dorongan. Tanyalah UIA. Di samping jurulatih Acap, atlet-atlet lama tidak lokek berkongsi pengalaman kerana kagum dengan kesungguhan mereka turun berlatih lebih awal.

UTHM, satu pasukan yang tetap digeruni semalam, kini dan masa depan. Kesal juga bila mengetahui tentang ayat “menghina profesionalisme pengadil dan juri pertandingan?” Namun memahami keinginan untuk menang yang kuat itu boleh menerbitkan unsur-unsur emosi yang kurang disenangi. Inilah pelajaran yang kami dapat. Bahawa ada perkara berlaku di dalam kawalan kita. Ada juga perkara yang berlaku di luar kawalan. Cara mana kita mengendalikannya, terpulang pada budi bicara masing-masing. Tepuk dada, tanyalah…. Bak kat Coach Hadi, kita perlu belajar daripada insiden yang belaku supaya menjadi iktibar. Dan ingatan dari Tuan Presiden PERDAMA juga kukuh terpahat buat bekalan nanti di perlawanan-perlawanan yang lebih besar.

Benar kami adalah lawan, seteru ketika MASUM, URI dan VBR. Namun, di bawah satu bendera kami tetap sama. Bernaung di bawah payung mahkota yang sama, menginjak di bumi yang sama dan bernafas di udara yang sama. (p/s: pinjam line PGL). Sukan Sea 2011 matlamat bersama. Sungguhpun sering berbeza pendapat, namun kami tetap berganding bahu merealisasikan matlamat.

Senarai nama atlet yang bakal dikenal pasti bagi Sukan Sea 2011 dan akan datang berada dalam simpanan. Menunggu perlaksaan program. Buat masa ini, tumpuan diberikan bagi ASIAN CUP 2010, Singapura pada 10 – 15 Jun ini.

Ayuh anak-anak dayung! Anak-anak mahasiswa! Anak-anak Malaysia! Kita terus bersaing bagi menolak diri masing-masing ke puncak jaya. Agar setaraf dengan juara-juara di luar sana.

Maju sukan ROWING!!!!

1 Comment

MASTER ROWING IN MALAYSIA – KHAS UNTUK OTAI-OTAI


Berita baik untuk pencinta-pencinta sukan mendayung. Mesyuarat jawatankuasa PERDAMA tempoh hari ada menyelitkan agenda MASTER ROWING. Menyedari ramai pendayung-pendayung tegar di luar sana sentiasa rasa terpanggil untuk kembali beraksi. Kali ini anda boleh bersaing bersama lawan yang setanding perut ke depan… hahaha.. maklumlah.. ramai yg sudah bersara. Tak kurang juga yang masih maintain stamina.

Inilah masanya anda menunjukkan bakat tanpa perlu risau akan budak2 universiti yg sudah cecah time ergo bawah tujuh minit!!! Ayuh! Kita mendayung….

CALLING FOR FARID, KEMBAR ZAIDI ZAKARIA, SHAHA, ZURIN, KOIE, AMOI INSPEKTOR, ABG TAJA, ABG MAN, AMIR & MONO DAN LAIN-LAIN LAGI…

Terbuka juga untuk sesiapa yang baru berkenalan dengan dunia dayung… Kami sedang mengumpul data dan membuat perancangan. Jadilah sebahagian dari ahli jawatankuasa penggerak acara yg akan julung2 kali diadakan ini.

COMPETITION DESCRIPTION:
The regatta’s format makes it appealing to rowers of all levels. Overall crew ranking is not determined on the basis of heats, repechages, semi-finals or finals. If entries exceed the number of racing lanes in any of the 100 or more events, as many races as necessary are added to the event, with a medal awarded to the winner of each race.

Competing against rowers of similar age is also an incentive to participate.

Age categories are as follows:
A – Minimum age 27 or more
B – Average age 36 or more
C – Average age 43 or more
D – Average age 50 or more
E – Average age 55 or more
F – Average age 60 or more
G – Average age 65 or more
H – Average age 70 or more
I – Average age 75 or more
J – Average age 80 or more

*sumber http://www.worldrowing.com/

2 Comments

Student athlete

Menanam keyakinan itu bukan mudah. Tetapi percayalah adik-adik. Jelas terpampang potensi di wajah-wajah kamu semua. Betul kamu belajar. Mana mahu dikejar tugasannya. Ujian dan peperiksaan. Pembentangan projek akhir. Mana pula mahu berlatih setiap petang atau pagi. Memenuhi program yang telah diberi.

Kamu adalah pelajar! Kamu juga adalah atlet. Pelajaran kamu seiring dengan prestasi yang harus dikekalkan. Dari minit kamu bergelar atlet universiti (atau pendayung universiti), sebelah kaki kamu sudah menjejak peluang sebagai atlet kebangsaan. Sukan SEA 2011 makin hampir. Tiada yang mustahil. Siapa jua layak asal usahanya setimpal dengan hasil.

Gaya hidup kamu akan berubah mulai saat ini. Kamu bukan hanya belajar kemudian berlibur di waktu-waktu senggang. Waktu-waktu senggang kamu diubah menjadi waktu latihan. Latihan yang berat, penat dan benar-benar menuntut kesabaran. Selalu aku terserempak dengan atlet yang menyumpah-nyumpah kepenatan setelah usai melunaskan program di atas mesin ergometer. Namun, tersenyum lebar bilamana ujian 2000m menunjukkan peningkatan. Betul! Usaha pasti membuahkan hasil.

Menerima berita keputusan SPM, lebih banyak kegembiraan dari kedukaan yang saya terima. Anak-anak di Alam Shah ramai yang mencatat keputusan cemerlang. Di universiti mana agaknya kamu ditempatkan nanti. Tempatan atau luar negara?

Saya kenal seorang dua yang hatinya waja. Moga-moga saja jiwanya terus cekal dan meneruskan perjuangannya dalam sukan mendayung di peringkat universiti nanti. Lebih bebas pergerakannya dan lebih banyak peluang. Kami menanti-nanti kemunculan kamu, adik-adik. Buat cabaran baru pada abang-abang kamu di sini.

p/s: dan tiba-tiba ingatan kepada Wan Setiawan muncul kembali. Pelajar cina di sebuah sekolah menengah di Perak. Anak didik cikgu Saleh. Sanggup bekerja mencari duit tambang ke Empangan Batu, demi mengejar cita-cita sebagai pendayung kebangsaan. Coach Hadi yang seperti selalu sarat kebaikan dalam dirinya, menjemputnya di Puduraya dan melatih beliau bersama-sama Acap, Zul, Yus dan Amir.

Leave a Comment

B.B.Q di Batu Dam

Malam minggu, malam pertemuan semula bekas pendayung-pendayung kebangsaan di majlis BBQ yang diadakan serentak dengan malam terakhir kem latihan sukan sea II. Hanya beberapa orang yang dapat menjelmakan diri namun cukup meriah. Gembira dengan kemunculan Amir + Mono, double scull 1998 ~ 1999. Juga Tonga, Abang nizam dll. Masing-masing punya keluarga sendiri.

Saya ternanti buah tangan Saudara Nizam dengan kameranya yang canggih. Bila agaknya akan di’posting’ di facebook.

Apapun, pertemuan ini hasil usaha Head Coach, Coach Halim. Tercapai objektif pertama. Beberapa orang dinanti kemunculannya di lain hari seperti Abang Din, Farid, Kembar Zaidi & Zakaria, Abang Fuad, Shasha, Zurin, Eisya, Gee dll. Ramai lagi ditagih supaya kembali bertemu sambil mengimbau kenangan lama.

Kawan2, semoga bertemu lagi.

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

photo by http://amir-stepuptx.blogspot.com/

2 Comments

Kemaraan pendayung MARA

Feb-10, jam 8:40pm aku tiba di bangunan kolam renang UiTM bersebelahan Kolej Delima. Itupun bergegas aku keluar dari kelas E-commerce di Kampus Puncak Perdana yang berakhir jam 8pm. Ini adalah pertemuan kedua kami selepas ujian 500m yang aku kendalikan bersama Izwan, seorang kayakers & pelajar senior minggu lepas. Kehadiran kali ini agak kurang disebabkan sesetengah daripada pelajar terikat dengan kelas dan kuliah.

Ujian 500m minggu lepas menyaksikan keputusan yang menarik. 3 orang pelajar perempuan berjaya mencatatkan masa bawah 2 minit bagi ujian kali pertama. Fizikal mereka dengan ketinggian menunjukkan potensi besar. Begitu juga pelajar lelaki. Catatan terbaik mereka adalah 1:37.0.

Malam tadi lebih kepada penerangan tentang teknik di ergo, program dan zon latihan yang mereka harus ikuti. Sedar tak sedar mereka di minggu akhir fasa persediaan sedangkan ini adalah pertemuan kedua kami. Rombakan kecil pada program latihan perlu dibuat bagi memastikan kondisi mereka bersedia menerima beban latihan untuk fasa pra-pertandingan.

Sebelum memulakan fasa pra-pertandingan, ujian 2000m perlu dilakukan bagi mendapatkan data yang tepat. Ini penting bagi rujukan mereka mematuhi program vs zon latihan nanti.

Sungguhpun aku terikat kerana berkhidmat dengan UTM namun sebagai warga UiTM meski separuh masa, aku tidak mahu ketinggalan menyumbang. Lagipun, ini pasti menyeronokkan kerana saingan semakin sengit. Semakin di kejar, semakin jauh kita ke depan. Betul tak?

Dayung terus!!

Leave a Comment

Risik-risik

Berita UTM diangkat sebagai pusat kecemerlangan sukan air bukan satu rahsia lagi. Pembangunannya pasti sudah dirancang dengan teliti. Perlaksanaan belum kelihatan namun apabila dirisik-risik ada pergerakan yang sudah dimulakan.

Khabarnya UTM mencari calon untuk mengepalai carta organisasi baru ini. Beberapa nama sudah disenarai pendek namun calon yang sesuai nampaknya terikat dengan komitmen lain. Calon ini punya kriteria yang sempurna iaitu pengalaman pengurusan sukan, bekas atlit mendayung kebangsaan, daya kepimpinan yang tinggi dan sangat agresif. Tonggak yang tuan pengarah mahukan. Malangnya komitmen yang tersarung di jari manis mengikat kata muktamad. Mungkin ada tawar menawar di situ.

Sudah pasti tuan pengarah mahukan seseorang yang mahir selok belok kerja bersamanya, pantas bertindak dan memberikan maklum balas. Jika calon diambil bukan dari bidang sukan air, kelak bermacam pula isu yang timbul. Mengendalikan dan mengurus organisasi bagi melaksanakan perancangan memerlukan seseorang yang masak dengan asam garam sukan ini.

Kita di sini hanya mampu berdoa agar semua pihak mendapat manfaat dengan situasi menang-menang.

Intai-intai

Khabarnya juga pergerakan membentuk pasukan ke World Varsity Rowing Championship juga sudah nampak bayang-bayangnya. Macam mulut murai pula aku ni… tetapi ini perkhabaran gembira. Kita selangkah lagi maju ke depan. Pendayung-pendayung bakal ke Hungary Ogos ini? Belum ada pengesahan, sekadar khabar di angin lalu.

Bertanding di peringkat antarabangsa selalunya kurang memberikan kelebihan kerana fakor fizikal. Kecuali acara lightweight. Tetapi kita juga ada Safwan & Zulfadhli (UTHM) dengan ketinggian mereka hampir 190cm. Fizikal hampir setanding tetapi kekuatan belum dapat diukur lagi. Saya dapat lihat potensi pair (2-) open pada mereka memandangkan pair tidak menghidangkan acara lightweight untuk Mazli dan Wan.Ah! Pasti Wan & Mazlie (UTM) kecewa kerana ini adalah acara kegemaran mereka. Oh.. patutlah mereka diam-diam berlatih sculling… :p

Jom! Dayung terussss!!

Leave a Comment

Halijah dan Latissimus Dorsi

Halijah merujuk kepada doktor di klinik universiti berkenaan kesakitan yang dialami di bahagian bahu dan belakang badan. Kesakitan yang berlarutan sejak beberapa minggu nampaknya tidak dapat ditanggung lagi. Biasanya, jika kesakitan normal yang dirasakan selepas latihan akan beransur pulih dalam masa beberapa waktu.Ianya juga bukan kesakitan yang tajam, tetapi lebih kepada sengal-sengal otot akibat kesan latihan. Selalunya memberikan impak positif kepada stamina dan kekuatan.

Namun kali ini, Halijah bukan sahaja mengalami kesakitan yang berterusan. Ingin bangun dari tidur sahaja, Halijah mengambil masa 15 – 30 minit. Belum lagi dikira kelesuan. Sukar sekali untuk kembali aktif dan melakukan kerja-kerja rutin. Berkejar ke kuliah, kemudian ke unit sukan memastikan pengurusan kem latihan, melaporkan perkembangan kepada presiden kelab di KL & JB juga kepada jurulatih, bertegang urat dengan Ayahanda Tuan Pengarah Unit Sukan, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan mendapatkan maklum balas ahli-ahli kelab yang bermacam ragam.Ditambah pula dengan tekanan untuk memenuhi program latihan.

Naib Presiden Kelab Mendayung ini bekerja seperti lipas kudung. Punya pengurusan waktu yang tersusun tetapi badannya kali ini tidak mahu menurut arahan otak. Badannya sudah menghantar isyarat supaya beristirehat. Juga isyarat supaya memperlahankan aktiviti. Refleks badannya tidak dapat menandingi kepantasan otaknya bekerja. dan akhirnya, isyarat jelas & tegas terus diberikan. Kesakitan pada bahu dan belakang badannya minta perhatian.

Diagnose pertama yang doktor berikan adalah kemungkinan tisu otot bahunya koyak. Muscle tear. Masih di peringkat awal. Tiada MRT atau CT scan. Hanya bersandarkan kepada pemerhatian sahaja. Surat ditulis dan ditandatangani bagi mendapatkan nasihat pakar fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Halijah mendapatkan temujanji dan memaklumkan situasi tersebut kepada jurulatih. Hasilnya temujanji hanya dapat dibuat pada 24 Feb. Aduh! Kesakitan itu harus ditanggung selama waktu tersebut. Dapatkah pil dan ubat-ubatan membantu?

7 Feb – latihan yang dijadualkan sepatutnya di Taman Tasik Titiwangsa. Setibanya di sana, bukan sahaja tidak menemukan parking lot. Malahan, untuk berlari pun bakal berlanggar bahu dengan lautan manusia. Ada pertandingan memancing rupaya. Tempat latihan diubah ke Taman Rekreasi Jalan Jelatik. Walaupun tidak seluas mana, memadai untuk larian dan sedikit latihan sirkit. Halijah turut serta sebagai penonton bersama Halily (juga cedera kerana kemalangan motorsikal.. macam-macam)matahari juga sudah meninggi. Latihan selesai jam 10:30AM. Kami ke Setiawangsa membasahkan tekak di restoran mamak.

Di restoran mamak, Halijah menyembunyikan kesakitan dengan gelak ketawa. Namun sempat pula dia menyatakan hasrat untuk bercuti. Halijah tidak menyertai kem latihan minggu depan. Ingin berehat dan pulang ke kampung. Janjinya segala urusan mengenai kem latihan akan diselesaikan bersama Mazlie dan Iram Maisarah. Pantas jurulatih teringat temannya merangkap sifu fisioterapi, Tuan Shamsul Azhar di Bandar Puteri, Klang. Temujanji dengan fisio HKL masih jauh di depan sedangkan kesakitan masih menyucuk-nyucuk di bahu Halijah. Segera di dail nombor di tangan, dan alhamdulillah.. Tuan Shamsul ada kelapangan untuk merawat Halijah.

Temujanji jam 2pm. Halijah dibawa pulang bersama ke Klang. Hasil pemeriksaan, Tuan Shamsul mendapati Halijah tidaklah mengalami kecederaan serius. Terpancar kelegaan di wajah jurulatih dan Halijah sendiri. Otot belikatnya mengalami bengkak dan tulang belakangnya beralih sedikit. Bengkaknya cenderung di sebelah kiri. Rupa-rupanya
Halijah mendayung di bahagian bow sejak beberapa minggu yang lalu sedangkan dia adalah pendayung stroke. Komposisi otot dan badannya belum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan. Ditambah pula regangan badan yang dilakukan kurang efektif.

Tuan Shamsul memberikan rawatan dengan menekan bahagian kiri badan dengan menumpukan tekanan pada bengkak tersebut sehingga ke belikat (latisimus dorsi). Sambil memberikan rawatan, Tuan Shamsul memberikan kelas percuma kepada jurulatih tentang bagaimana mengesan punca kecederaan/kesakitan dan bagaimanakan cara rawatan. Jurulatih dapat merasakan perbezaan dan bengkak yang dikatakan olehnya.

Rawatan diberikan selama sejam dan jurulatih berpeluang turut serta memberikan rawatan sebagai latihan dengan pengawasan Tuan Shamsul. Rawatan ini perlu diulang beberapa kali dan jurulatih akan memberikan sendiri rawatan susulan tersebut. Selain itu, Halijah perlu melakukan teknik senaman khusus seperti yang telah dinasihatkan oleh Tuan Shamsul.

8-Feb sms dihantar kepada Halijah bertanyakan tentang tahap pemulihan. Menurut Halijah, 80% kesakitan sudah hilang. Alhamdulillah!

Profil dan maklumat lanjut tentang fisioterapi dan urutan sukan oleh Tuan Shamsul boleh diperolehi di sini. http://www.medicmassage.net/

Leave a Comment