Skip to content

Tag: Inspirasi

Sebuah permata

Hidden gemstone. Itu tanggapan pertama aku terhadap dia. Seorang yang sangat berbakat tetapi tenggelam dalam luncuran hidup yang menekan. Enggan memberi peluang untuk menyinar. Setiap kali hatinya patah dan remuk redam dihimpit satu demi satu penolakan. Lebih pahit, tiada dorongan untuk membantu dia kembali berdiri.

Aku ditakdirkan bertemu dengan dia kali pertama di kaki banjaran titiwangsa. Keperibadiannya menyenangkan dan kami serasi dek kerana dia rajin menyambung bait-bait lagu yang aku senandungkan. Bibirnya tak lekang memuji aku yang suka bermain dengan perkataan.

Segalanya tercetus dalam satu sesi luahan rasa oleh peserta lain. Usai kami meredakan ketegangan dan semua peserta bubar kembali menyambung urusan bengkel, di kamar itu tinggal aku dan dia.

Saat itulah dia mengupas lapisan demi lapisan. Aku tak tahu apakah yang telah aku katakan sebelum itu. Sehingga hati dia tergerak untuk berkongsi ranjau kehidupannya yang melemaskan. Akhirnya didepanku, pecah tangisan sayu.

Aku melutut di depannya dan aku bentangkan satu persatu peluang yang tersedia untuk insan yang berbakat seperti dirinya. Kata-kataku membuatkan tangisannya semakin mendadak lantas menghamburkan segala isi hati.

Inilah pertama kali aku melihat, seseorang yang berbakat sedemikian besar merasa putus asa, seolah-olah permata yang terbenam dalam perut bumi tanpa harapan untuk ditemui apatah lagi muncul di permukaan.

Lantas aku berjanji, dengan izin tuhan – akan ku kerahkan segala kudratku. Segala apa yang kutahu untuk membantu dia meletakkan dirinya di mahkota, tempat yang sepatutnya dia berada.

Oh tuhan. Permudahkanlah.

Leave a Comment

Suami enggan hibah pampasan takaful buat isteri, takut kahwin lagi…

“…. jangan jadi bangang, dah mati pon jeles lagi”
 
Bagus reminder ni (rujuk gambar). Kerja mendidik ni bukan jatuh pada guru dan ibubapa sahaja…
 

Pengakuan: Saya sendiri pernah cakap pada adik perempuan, saya tak nak letak nama suami saya sebagai waris. Nak letak nama anak-anak. Takut suami joli duit dan kahwin bini baru. Abaikan anak-anak.
Sangka saya, sebagai adik – perempuan pula tu, mestilah dia sokong saya. Tapi apa yang keluar dari mulut dia, buat saya terkedu.
 
“Kau dah dalam kubur. Tak ingat dah laki dengan anak-anak, mengadap malaikat munkar dan nankir.”
Hanya doa anak soleh-solehah jadi penghubung alam dunia dan alam barzakh
 
Zasss.. makan dalammm… walaupun adik saya sorang ni memang mulut pedas tapi semua tu ada kebenaran. Ada iktibar dan pengajaran.
 
Kemudian saya dapat tahu banyak kes apabila pasangan meninggal, orang yang ditinggal mengalami macam-macam kesusahan. Menanggung hutang si mati, kesempitan hidup tapi tak boleh keluarkan wang simpanan yang disimpan atas nama pasangan, berebut harta pusaka atas alasan hukum faraid tapi bila waris minta nafkah – dinafikan pula hak anak-anak yatim.
 
Haih… sementara masih ada nafas ni, kita usahakan hibah apa yang patut. Walaupun harta tak seberapa, tapi jangan lah jadi punca seksaan kubur kerana tidak berlaku adil. Mudah-mudahan tak membelenggu kita bila kembali ke negeri abadi.
 
Mohon dijauhkan dari beban yang mengheret kita di hari pembalasan kelak. Mohon dijauhkan dari menjadi fakir kerana mengambil hak orang lain.
 
Leave a Comment

Ergometre is HELL ~ Sharing session with Musaddiq

 ERGOMETER IS HELL 

Aku tergelak sakan bila Musaddiq ulang hampir 11 kali frasa ni malam tu. Untuk pasukan mendayung UiTM yang baru dibina semula, aku bawakan senior mereka yang pernah sama-sama menaikkan sukan mendayung di universiti ini.

Berkongsi momen-momen ketika beliau mencari erti kehidupan di kampus, Musaddiq memilih sukan ROWING apabila dia sedar universiti bukan semata-mata baca buku dan lulus peperiksaan dengan CGPA yang bagus.

“Kawan aku berbangsa cina bagi nasihat. UNIVERSITI ADALAH TEMPAT UNTUK KAU EXPLORE! Jadi aku main rowing.”

Untuk pengetahuan kalian, Musaddiq memang mahasiswa ulat buku. Setiap semester tak pernah gagal mendapat ANUGERAH DEKAN. Tetapi dia tak pernah puas dengan pencapaian itu. Seorang yang cepat bosan, lalu dia buat kerja gila dengan terlibat dengan sukan yang sangat menuntut komitmen tinggi iaitu rowing.

UiTm Rudern
Siap sedia untuk perlawanan akhir

Aku paling terkesan apabila Mussadiq berkata,

“1 semester main rowing rasa macam 2 tahun.”

Dalam hati aku terdetik, apakah? Takkan sengsara sungguh main rowing ya?

Kemudian Musaddiq menyambung, “Dua semester pertama aku rasa singkat. Langsung tiada memori yang bermakna. Tetapi 1 semester main rowing, pengalaman yang dikumpul sangat banyak. 1 semester itulah terhimpun 2 tahun jumlahnya pengalaman berharga!”

Men Coxed Eight Rowing
Semasa pertandingan Uniten Invitatonal Rowing Championship 2010

Ketika saat-saat genting dengan peperiksaan dan hari perlumbaan MASUM dan Varsity Boat Race yang semakin dekat, Musaddiq sanggup mengadap semua pensyarahnya meminta supaya ujian-ujian kelas dikumpul pada minggu yang sama dan menjawab set soalan baru bersendirian.

“Semuanya demi rowing. Aku tahu semuanya akan baik-baik sahaja, asalkan ada perancangan masa yang bagus dan jaga hubungan baik dengan pensyarah.”

Cabaran mengimbangi kegiatan sukan dan kecemerlangan akademik sangat membantu Musaddiq dalam alam pekerjaan.

“Tak apa lah tak dapat selempang diraja masa konvo. Tapi aku puas!”

Musaddiq membina keyakinan diri dengan terlibat dalam sukan. Dia tak mahu jadi ulat buku yang cemerlang dalam peperiksaan tapi bila keluar ke dunia sebenar, tenggelam. Berdepan dengan CEO syarikat semasa sesi temuduga, terus terkunci mulut.

Aduhai! Banyak lagi perkongsian yang awesome dari Musaddiq.

Lain kali aku kongsikan pengalaman Musaddiq menyertai EKSPEDISI KE GREENLAND yang membuatkan junior-junior terpegun dan teruja. Begitu juga pengalaman tetamu kedua kami, Saddiq ketika KEMBARA SOLO JELAJAH NEW ZEALAND beliau. Aku plan nak temuramah mereka nanti.

 

Leave a Comment

Kisah Laut, Angkasa dan Impian

Sayang sedeli permata buana
Pasirnya putih laut membiru
Terkenang hati ditinggal di sana
Budi Tuan buat kami terharu

Kalau ada sumur dalam airnya
Kepingin sungguh berendam kaki
Kalau ada umur dan jodohnya
Kepingin sungguh bertemu lagi

~MN, 16 Mar 2019, Klang

Bila menulis artikel berkisar topik laut, saya selongkar galeri di dalam telefon bimbit. Teringat kenangan menjelajah pantai timur di selatan semenanjung. Aduhai, ruginya… hanya beberapa keping gambar di tepi pantai, itupun tak bersungguh. Kebiruan laut di pantai sebelah timur ini memang tidak pernah mengecewakan dengan pasir di pantai yang memutih. Kalau tidak kerana Program Jelajah Sekolah bersama Blink Books, saya takkan sampai menjejak kaki ke sini.

Kawasan peranginan di Tanjung Sutera Beach Resort

Berharap sangat dapat kembali.

Program Jelajah Sekolah
Program Jelajah Sekolah di daerah Tanjung Sedeli

Istimewa anak-anak di Tanjung Sedeli ini, saya berusaha meyakinkan mereka bahawa membina impian itu percuma. Jujurnya, mereka tidak pernah terfikir untuk menulis impian menjadi sebuah matlamat.

“Sky is the limit”

Itu yang saya ulang-ulang sambil menyelitkan kisah-kisah inspirasi tentang kejayaan atlet Malaysia mahupun dunia. Seperti ombak di lautan, saya dendangkan kisah kegagalan demi kegagalan yang bertali arus mengasak sehingga rasa putus asa itu terbit. Tetapi, setiap individu ini berjaya meredah badai di lautan kehidupan. Saya tidak hanya menekankan kejayaan bahkan kegigihan atlet ini berdepan dengan cabaran walaupun tewas berkali-kali.

Kuasa imaginasi dan visualisasi seorang atlet mampu membawa jatidiri mereka ke puncak jaya.

“Impian yang tidak ditulis akan jadi angan-angan. Namun jika ditulis, impian itu akan bertukar menjadi MATLAMAT.”

Semasa program ini, pengerusi majlis guru besar Tuan Johari Md Saad bersusah payah mengaturkan agar 9 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah kurang murid menyertai bengkel ‘Modul Asas Juara’ ini. Sek. Kebangsaan Sempang, Sek Keb. Seri Perani, SK Telok Hutan Lesong dan SK Tenggaroh mempunyai jumlah murid sekitar 16 sehingga 80 orang sahaja. Namun mereka tidak ketinggalan untuk menyertai bengkel anjuran Blink Book.

Kesempatan yang diambil untuk guru-guru ini memberikan pendedahan kepada anak-anak luar bandar tentang kewujudan dunia luar selain yang didiami mereka. Sek Kebangsaan Seri Gembut menawarkan diri menjadi tuan rumah dan menyediakan ruang untuk 120 orang pelajar menyertai bengkel tersebut. SK Seri Setia Jaya, SK Sedeli Kecil, SK Sedeli Besar dan
SK Mawai menghantar semua pelajar tahun 6.

Bengkel ini diakhiri dengan harapan menggunung. Mudah-mudahan ilmu yang diberikan mendatangkan manfaat.

Leave a Comment

Siapa Steve Jobs?

Stay hungry, stay foolish

Inilah barisan kata-kata penutup yang disampaikan oleh Steve Job di hadapan ribuan mahasiswa Universiti Stanford pada tahun 2005. Pada masa yang sama beliau telah berkongsi pada khalayak tentang perjuangannya melawan penyakit kanser.

Laptop aku yang berusia 6 tahun akhirnya rosak. Engsel mengeras dan kerana aku biarkan, lama-lama ianya patah. Kabel wifi juga putus. Sementara menanti hasil diagnosis si tukang baiki, aku berkira-kira mahu membeli laptop baru.

Entah bagaimana, tergerak aku mahu menonton rencana khas Steve Job di netflix. Berbaloi bak anggg! Kiranya aku baru nak celik mata bila menonton dokumentari ini. 😅😅

Dokumentari perihal Steve Jobs di Netflix

Dialah lelaki yang mengasaskan syarikat Apple. Dan ketika krisis ekonomi pada tahun 1984 (semasa sedang mengetuai divisyen Macintosh) Steve Job dijadikan kambing hitam. Dia dibuang kerja oleh CEO yang dilantik olehnya sendiri. Tamparan yang sangat hebat di saat-saat Apple sedang mendahului teknologi 10 tahun di hadapan berbanding IBM-Microsoft mahupun XEROX.

Membawa hati duka lara, Steve membina syarikat NEXT (fokus membina OS, sebuah applikasi yang kemudiannya dibeli oleh Sir Tim Berners untuk mencipta www – world wide web).

Siapa sangka Apple membeli NEXT 11 tahun kemudian dan Steve kembali dalam syarikat yang diasaskannya. Steve kembali menjadi nakhoda dalam kapal yang sedang karam – bilamana kewangan Apple berada dalam keadaan sangat-sangat kritikal.

Naluri seorang entepreneur yang sangat kuat, Steve mengambil langkah progresif dan agresif dengan membangunkan bukan sahaja hardware dan software malahan content.

Bermula dengan menjual komputer dari garaj.. Steve Jobs mencipta keajaiban.

Muncullah ipod, itunes, ipad, imac dan segala gajet yang bersifat peribadi dengan misi memenuhi segala kehendak dan nafsu pengguna. Walaupun jumlah keluaran produk Apple tidak sebanyak pesaingnya yang lain, namun pendapatan yang dijana melalui konten yang dibeli pengguna meletakkan Apple di dalam kelasnya sendiri dan berjaya melonjakkan keuntungan di tahap yang sukar dicabar.

Berkali-kali beliau menegaskan tentang peri pentingnya mempertahankan ruh dan nilai dalam setiap inovasi Apple dalam temuramah eksklusif ini. Demi legasi yang ditinggalkan agar boleh menyambung perjuangan beliau.

Sebuah temuramah yang hilang dari simpanan dan kemudiannya dijumpai semula. Setelah beliau meninggal dunia.

Aku tonton 2 kali rencana ini. Kedua-duanya. Banyak falsafah ‘makan dalam’ yang beliau kongsikan. Inspirasi yang mendiang perolehi dari insan-insan yang rapat serta meninggalkan kesan dalam hidupnya. Samada secara positif atau negatif. Kehidupan remaja hippy, pengajaran tentang kisah geseran batu-batan, kembara beliau di India, serta kekejaman dunia bisnes yang banyak membentuk peribadi dan budaya kerja beliau selepas itu.

Kesedaran tentang kematian telah menjadi pemangkin untuk Steve Jobs mencipta kegemilangan pada saat-saat hidupnya berbaki beberapa tahun sahaja.

Masalah bila menonton dokumentari seperti ini, boleh pula datang rasa kekesalan. Kenapa dulu-dulu aku tak sambung pengajian dalam bidang Sains Komputer? Kagum sungguh dengan kecintaan Steve Jobs terhadap teknologi dan ketaksuban beliau untuk memastikan produk Apple membawa lebih banyak kebaikan serta kegembiraan untuk pembelinya.  Betapa aku terdesak untuk menguasai segala teknologi yang memudahkan proses dalam industri. Tapi Steve Jobs sendiri mengakui dia bukan pakar teknologi mahupun programmer yang hebat. Kehebatan Steve Jobs adalah seni mengenal bakat seseorang dan pengutip idea-idea yang hebat. Dia mampu mendorong seseorang merealisasikan idea di dalam kepalanya.

Jadi sekarang, aku ada sebab utk membeli Apple McBook bagi menggantikan laptop yang sudah sampai jangka hayat itu. Bolehlah aku menghargai setiap byte inovasi hasil kerahan otak dan minda pemikir-pemikir yang genius dalam komuniti Apple. Sekaligus menjadi inspirasi dan aspirasi sejagat.

Seronok bila ada alasan untuk shopping… Walaupun hakikatnya poket menipis. Demi menikmati sendiri keistimewaan Apple yang diserapi ruh Steve Jobs, aku mesti memilikinya. Barulah aku boleh buat ulasan kemudian hari samada apa yang disembangkan oleh mendiang Steve Jobs itu benar atau tidak.

#alasannakshopping
#tributetoSteveJob

1 Comment

Ke mana kalian selepas keputusan SPM?

Allahu.. Cerita pasal SPM memang unik bagi setiap orang. Persimpangan hidup ditentukan selepas ini.

Ada yang sudah ditakdirkan menempuh laluan yang diimpikan.

Banyak pula yang tersasar….

Pernah dengar cerita seorang calon pramugara ketika ditemuduga, panel bertanya ‘kenapa awak mahu menjadi pramugara sedangkan awak ada sarjana dalam kejuruteraan kimia?’

Jawab calon tersebut, ‘itu impian bapa saya. Saya dah tunaikan impian dia. Sekarang saya nak kejar impian saya pula.’

Saya menduduki SPM tahun 1996. Mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian menyambung pengajian diploma dalam bidang yang sama.

Terinspirasi! Abang saya mengambil jurusan yang sama. Oleh kerana saya memandang dia sebagai idol, maka saya ikut jejak langkahnya. (Selain sibuk nak membuktikan kononnya wanita boleh berjaya dalam bidang ini sama macam kaum lelaki. Banyak terpengaruh juga dengan bacaan di media cetak mahupun televisyen ketika itu berkisar tentang cerahnya masa depan dalam bidang kejuruteraan dan seumpama dengannya.)

Walhal, sebenarnya kecenderungan saya adalah dalam bidang seni sastera dan sosial. (baru sedar sekarang.. Aduhai! Hehe)

Entah kenapa saya tidak pernah mendengar tentang frasa, ‘follow your passion. Make a living through it’.

Maka, saya berhempas pulas menghabiskan pengajian diploma dengan markah cukup-cukup makan. Tapi saya tak menyesal pun kerana semasa pengajian diplomalah saya jatuh cinta dengan sukan MENDAYUNG.

(Sempat juga menyertai sukan sea dan merasa jerih payah menjadi atlet kebangsaan.)

Kemudian, setelah 7 tahun bekerja dalam bidang kejuruteraan saya mengambil keputusan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang IT. Oleh kerana pengalaman kerja dan juga kecenderungan baru (suka bermain dengan data dan memanipulasikannya) saya berjaya mencapai keputusan cemerlang.

Tahun 2006 saya seolah-olah ditemukan semula kepingan yang hilang. Ditakdirkan bertemu dengan Puan Ainon Mohd dan menyertai bengkel-bengkel percuma beliau di Taman Permata.

Namun perjalanan seni penulisan saya tidak selancar yang diharapkan. Saya anggap setiap halangan itu sebagai pisau pengasah. Mematangkan dan memantapkan. Dan tak ada rezeki nak jumpa Puan Ain Maisarah dan Tuan Syaizul Amal ketika itu. Haha…

Dan akhirnya pada tahun 2017 dan 2018 saya berjaya menyiapkan 5 buah manuskrip.

Dua dari manuskrip tersebut dihantar untuk penerbitan bersama BLANK BOOKS.

Eh! Panjang betul posting ni.. Hahaha..

Akhir sekali, buat adik-adik yang bakal menerima keputusan SPM didoakan kalian beroleh keputusan cemerlang.

Apapun keputusan yang diterima, percayalah kalian masih boleh memilih persimpangan mana yang mahu dituju. Kejar impian. Banyakkan berdoa supaya kekal di jalan yang benar…

Untuk sahabat-sahabat seangkatan yang sudah mempunyai anak-anak SPM ini, pasti kalian lebih berdebar. Tenang-tenang aja.

Semoga berjaya semua! Ayuh… Jalan terus…

Mus Nasmian

Penulis Thriller Remaja

Leave a Comment